|
Kita hidup harmoni kerana
kasih sayang
“ Prinsip kasih sayang dan
saling hormat-menghormati inilah,
yang kita amalkan dalam meniti
usia kedewasaan bernegara.
Kerana lita percaya kemajuan dan
pembangunan negara adalah lebih
mudah untuk diungkayahkan
melalui amalan saling menyayangi
dan saling menghormati itu. Oleh
itu janganlah sesiapa berfikir
untuk bertindak yang sebaliknya.
Kita hidup harmoni dan aman
damai adalah kerana kasih sayang.
Kita teguh dan bersatu padu
adalah kerana amalan
hormat-menghormati sesama
sendiri. Inilah punca rahmat
Allah kepada kita. Kita telah
mengamalkan 'Hablun Minannas'
iaitu menjaga hubungan dengan
sesama manusia, di samping
memelihara dengan kuatnya 'Hablun
Minallah' iaitu hubungan dengan
Allah, dalam makna sentiasa
membuat ketaatan.
Inilah yang berlaku di zaman
Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dan para sahabat,
mereka itu dengan kuatnya
berpegang kepada 'tali Allah',
sehingga kekuatan menjelma dan
kebajikan tersebar di kalangan
ummah. Mereka sama sekali tidak
membelakangi Hukum Allah dan
Rasul di dalam apa jua keadaan,
yang menjadikan mereka terus
dihormati lagi digeruni.
Inilah yang sebenar-benarnya
rahsia kejayaan itu. Manakala
Allah tidak dibelakangi, Dia pun
tidak akan membiarkan kita
bersendirian. Kalau kita
berhajat kepada kemuliaan, Dia
akan muliakan kita. Kalau kita
mengingini perlindungan-Nya, Dia
akan lindungi kita. Kalau kita
berhasrat mengusahakan
kemakmuran, Dia akan tunjuk
jalan, bagaimana untuk
memperolehi kemakmuran itu.
Dalam situasi dunia mengalami
pelbagai penyakit moral dan
cabaran semasa, maka pada hemat
beta, suri teladan Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam dan
para sahabat mustahaklah dilihat.
Ibarat orang yang sakit, kita
tidak wajar diam melainkan perlu
mencari ubat.
Satu contoh penyakit itu ialah
penyakit 'kurang celik atau
lemah ugama'. Apakah ubatnya
penyakit ini kalau berpandukan
suri teladan Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam?
Ubatnya itu, menurut suri
teladan Baginda ialah,
pembelajaran seumur hidup,
berdasarkan maksud hadis:
“Menuntut ilmu itu wajib ke atas
orang Islam lelaki dan perempuan.”
Ini dikuatkan lagi dengan ada
ungkapan: Dari buaian sampai ke
liang lahad. Kalau konsep
belajar apa jua ilmu, disuruh
sampai ke liang lahad, maka
bukanlah ilmu ugama itu terlebih
afdal dan wajib lagi?
Inilah yang beta nampak, untuk
kita dapat 'survive 'selaku
bangsa dan negara yang aman jaya,
maka tidak boleh tidak,
pendidikan ugama mestilah wajib
ke atas tiap-tiap batang tubuh
Muslim itu, dan insya-Allah
dengan cara ini, semua akan
mendapat berkat dan cahaya
daripadanya. ”
|