Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksPerkhidmatan Kaunseling


Ke arah meningkatkan mutu Perkhidmatan Awam, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan satu lagi usaha berterusan terutama sekali di kalangan anggota perkhidmatan awam dalam meningkatkan produktiviti; kesedaran dan komitmen kepada tugas dan tanggungjawab serta merancang kemajuan kerjaya mereka. Maka dengan usaha ini, Unit Perkhidmatan Kaunseling (UPK) telah ditubuhkan pada 18 Jamadilakhir 1425 Hijrah bersamaan dengan 5 Ogos 2004 Masehi melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 10/2004. Kemudiannya pada 5 Rabiulakhir 1430 bersamaan 1 April 2009 dinaiktaraf kepada Bahagian Perkhidmatan Kaunseling (BPK). Penubuhan BPK terbit daripada kesedaran dalam membantu meningkatkan produktiviti dan merancang kemajuan kerjaya warga perkhidmatan awam dalam menangani cabaran yang dihadapi di tempat kerja.

 

Fungsi

Melalui surat keliling Jabatan Perdana Menteri Bil 10/2004 pada 17 Syabaan 1425 bersamaan 2 Oktober 2004, tugas dan tanggung jawab Unit Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana masih lagi di gunapakai setelah di naiktaraf menjadi Bahagian Perkhidmatan Kaunseling pada 1 April 2009, antara lain ialah untuk:

  1. Memberikan perkhidmatan kaunseling dan nasihat bagi membantu pegawai dan kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan kesedaran serta merancang kemajuan kerjaya;
  2. Memberikan perkhidmatan kaunseling dan nasihat kepada pegawai dan kakitangan awam yang mempunyai masalah-masalah dan yang diambil tindakan tatatertib; dan
  3. Menyediakan kursus dan perkhidmatan kaunseling kepada pegawai dan kakitangan awam yang akan meninggalkan perkhidmatan awam atas sebab-sebab persaraan wajib.


Objektif

BPK ditubuhkan khusus untuk membantu warga perkhidmatan awam yang juga merupakan aset negara untuk diberikan peluang pembaikan melalui bimbingan dan pemahaman permasalahan seperti masalah disiplin dan etika kerja (termasuk kurang komitmen dan motivasi) yang dihadapi sebelum tindakan tatatertib dikenakan ke atas mereka dan disamping itu juga, membantu meningkatkan lagi produktiviti kerjaya individu tersebut. Perkhidmatan kaunseling memainkan peranan sebagai perkhidmatan dokongan (supporting role) kepada penjawat awam. Akan tetapi di dalam pengurusan sumber manusia, perkhidmatan kaunseling dianggap sebagai rakan strategik. Dalam pada itu, BPK Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diberi tugasan untuk menyediakan konsultasi kepada agensi-agensi kerajaan berhubung dengan perkhidmatan kaunseling bertujuan untuk membangun motivasi dan meningkatkan keupayaan dan keutuhan penjawat awam dan pembangunan kerjaya.